Monday, August 30, 2010

Day 20

Salam Ramadan untuk semua,

Hari ini dah masuk hari yang ke 20, bermakna bermulalah malam-malam yang dicari, Malam Lailaul Qadar, bermula dengan malam ini.

Auntie ada dengar tazkirah kat radio yang mengatakan, kalau mengikut Imam Al-Syafie/Ghazali, untuk kali ini Malam Lailatul Qadar akan terjadi pada malam 29 Ramadan....itu adalah pendapat sahaja...adalah cara kiraan mereka. Yang penting untuk kita semua adalah meningkatkan lagi amalan. Tapi kebanyakan kita, leka pulak dengan persiapan raya. Sibuk bakar biskut raya, sibuk gantung langsir, sibuk shopping.

Biskut kena adalah bila raya, betul tak?....tak salah kalau nak buat, tapi jangan sampai amalan harian pun tergendala.

Auntie ingatkan diri sendiri ni.

Auntie sebenarnya satu apa biskut pun tak buat, tunjuk-tunjuk pun belum juga. Tak ada apa persiapan yang istimewa, cuma bersiap-siap nak balik kampung. Congak-congak duit untuk sedekah kat anak-anak buah.

Semalam Auntie pergi jugalah keluar nak cari biskut-biskut untuk bawa balik kampung, adui! ramainya umat manusia, berhimpit-himpit dalam shopping komplex yang sempit tu...lastnya kami balik dengan tangan kosong.

Nampak gayanya kena tunggu minggu depan le, harap-harap time tu ramai yang dah tinggalkan. Lembah Kelang ni.

Sibuk dengan sambutan raya, lupa pulak dengan Hari Kemerdekaan, untuk semua, Selamat Hari Merdeka, selamat beristirehat.....

Friday, August 27, 2010

Day 17

Salam Ramadan untuk semua,

Hari yang ke 17. Ada yang bercuti sempena Nuzul Al-Quran. Kami di Putrajaya tak cuti. Rasanya Jln. TAR sesak le hari ni kena serang dengan Rakyat Negeri Selangor.

Auntie nak update apa pun tak tahu jugak..

Waktu rehat tadi ingatkan nak bantai tido je macam selalu, tapi, ada pulak sikit kerja yang perlu dibereskan. Ofis senyap sunyi kaum lelaki pergi solat Jumaat. Asyik buat kerja tak sedar waktu berjalan laju, sedar sedar dia orang dah pun selesai solat.
Mulanya bos Auntie dok hint ajak pergi tinjau-tinjau sale kat precint 2 tu...Auntie cakap Auntie nak tido...tak kuasa le kan...panas -panas buat dahaga saja. At least kalau bukan bulan puasa tak beli apa pun, bos tentu belanja makan. :-)

Semalam waktu rehat, Auntie temankan sorang kawan yang nak beli bahan kueh raya...Auntie pun menyibuk juga masuk kedai tu...ramai rupanya wanita-wanita yang masih rajin buat biskut raya sendiri. Auntie ni dah lama tak buat biskut raya, dah malas la...anak-anak dah besar, bukannya dia orang makan pun.
Hujung minggu ni ramai yang sambung cuti...cuti panjang lah...Auntie tak perasan pun ada cuti yang boleh disambung...

Alaaa...tak tahu le nak cerita apa lagi....baik stop dulu...

Selamat berbuka. :-)

Thursday, August 26, 2010

Day 15 & 16

Salam Ramadan untuk semua,

Hari ke 16 dah hari ini.

Apa terjadi semalam?....hari ke 15 Ramadan yang membawa kenangan sayu dan menyedihkan untuk Auntie sekeluarga.

Pada 15 Ramadan tahun 1994, arwah ayah Auntie pergi menyahut panggilan Ilahi, pergi yang tak akan kembali lagi, sehinggalah datangnya hari Kiamat.

Bila diingat peristiwa yang terjadi pada hari itu, memang sebak rasanya. Arwah ayah telah mengidap stroke selama 7 tahun, lumpuh sebelah kiri badan ....dia menghumbuskan nafas terakhirnya dihadapan Auntie sebagai anak sulungnya dan juga adik Auntie yang bongsu. Kami berdua mengambil giliran menjaganya yang telah nazak selama 3 hari, waktu tu time berbuka dah hampir sangat...adik Auntie membaca surah Yasin disebelah kanannya mana kala Auntie, disebelah kirinya tak putus-putus membisikan kalimah syahadah. Belum sempat surah Yasin berakhir, nafasnya perlahan-lahan terhenti. Berakhirlah satu penghidupan.

Al- Fatihah.
---------------

Setelah rasa sedih bercampur rasa rindu pada arwah, petangnya disambut pulak berita gumbira......yeeyyyyy!...dapat duit raya RM 500, Alhamdulillah syukur...bagi setengah orang, apalah ada RM500 ni, tapi bagi Auntie ianya sangat bermakna, dapat juga menambah budget nak beraya. (pppssttt...kan ke baju raya pong belum beli lagi)

Kadang-kadang rasa nak tergelak pun ada, bila kakitangan awam dapat habuan, riuh 1 Malaysia,
orang swasta dapat ribu raban, senyap je....( sian kat kami orang gomen ni...)

--------------------

Ha, hari ini dah hari ke 16. Gaji pun dah masuk semalam. Yang penting, bayar hutang-hutang dulu lepas tu barulah berbelanja untuk raya, kang seronok shoping raya, lepas raya hutang semua jadi double.

Selamat berbuka.

Tuesday, August 24, 2010

Day 14



Salam Ramadan untuk semua,

14 hari sudahhh (kata orang Sabah) :-) Alhamdulillah.

Semalam, masa kat ofis time time nak balik kerja dalam pukul 4.15 gitu, Auntie punyalah ngantuk...ofis pun senyap je, mungkin orang lain pun ngantuk juga. Jadi, Auntie pun melelapkan mata sekejap, ingatkan nak lelap dalam 10, 15 minit....he!...he!....padan muka, terus terlajak sampai 4.45, nasib baik ada sorang member datang ke tempat Auntie untuk bertanya sesuatu....kalau tidak, harus le Cik Din naik angin menunggu lama kat bawah tu. Bergegas Auntie kemas meja dan terus menuju ke lift. Sebaik sampai ke tempat menunggu, Cik Din pun sampai...selamattt!

Orang lelaki ni, kalau kita tunggu dia, dia lambat tak pe.....tapi kalau kita lambat, dia bising....(Cik Din le....Cik Mat ke, Cik Usop ke...rasanya tidak kot)

Mungkin disebabkan bulan puasa, ramai yang tukar waktu balik kerja. Kalau dulu balik pukul 5.30, bulan puasa ramai yang nak balik cepat, nak sampai rumah cepat. Kaum wanita tentunya nak bersiap masak memasak...tapi, kaum Adam ni, tak tahu le apa sebabnya.....mungkin tolong isteri kot....tak pun ambil kesempatan untuk melelapkan mata juga...ha!...ha!..

Petang semalam, jalan jammed gila...belum lepas Putrajaya dah sesak. Masuk kawasan Bangi lagi sesak, apa lagi 2 buah bulatan tu...kami singgah kejap kat pasar ramadan, beli makanan lebih kurang je, sampai rumah dah 6.20. Jiran sebelah hulurkan Auntie Murtabak Kg. Mekasar Pekan yang femes tu. (Dia balik kampung hari Ahad tu)
Murtabak ni feme.s..katanyalah, tapi, masa berbuka, Cik Din kata dah tidak sesedap dulu lagi...rasanya dah macam murtabak yang lain jugak. Tak pe lah, rezeki...alhamdulillah. :-)

Monday, August 23, 2010

Day 13

Salam Ramadan untuk semua.

Dahhhhhhh 13 hari kita puasa. Alhamdulillah.

Dah 13 hari ni tak kan le rasa letih lagikan...tak kan le tak ingat yang kita sedang berpuasa....jangan le pulak buat buat lupa. :-)

Dua hari berpuasa di rumah memang seronok...sebabnya, rasa ngantuk je boleh terus lena.

Hari Sabtu adalah hari ke 11 puasa. Lepas sahur Auntie tak tidur balik pun, ada banyak tugas yang nak dibereskan. Siap semua, Auntie ke Alamanda. Dah tak tahu apa nak buat kat rumah, nak masuk dapur pun awal lagi.

Oleh kerana Alamanda ni satu satunya shopping kompleks yang agak ada 'kelas' le sikit kat persekitaran Putrajaya, BBB dan mungkin jugak Kajang maka, orang pun ramailah yang datang. Auntie sebenarnya tak rancang apa nak beli pun. Tengok kasut, rasa nak beli kasut, tengok baju rasa nak beli baju..... tengok Habib* Jewel*....pun rasa nak beli jugak..(bukan beli Habib le...)

Kita merungut bila harga petrol naik, harga gula naik, tapi, kat Habib ke, kat Wah Chan ke, Ah Chong ke, Sri Pinang ke, orang tetap masuk dan tetap penuh jugak................banyakkkkknya duit diaorang ni. Auntie nak masuk pun tak berani, usya-usya dari luar cermin je lahhh...:-(

Puas pusing sana sini, akhirnya Auntie beli dunkin donut sekotak dan ajak Cik Din balik je lah.....
Sampai rumah dah masuk zohor, rehat kejap, solat....pasti tido lah kejap.
Juadah berbuka, Auntie masak spegeti saja. Donut dah ada sekotak.
Untuk sahur, rebus telur masin, goreng ikan tenggiri sekeping, sambal tumis udang. daahhh.

Hari Ahad, hari ke 12.

Cuaca agak mendung saja. Mesin kain lepas subuh. Ngaji sikit. (Rehat banyak) Dengar/tonton ceramah Tanyalah Ustaz, sambungan ceramah pada hari Sabtu....dalam masa 1 jam, memang berbaloi lah ceramahnya. Selalunya program ni, Ustaz dia bagus-bagus belaka. Ustaz dah ada dalam rumah eloklah luangkan sedikit masa untuk perkara yang baik.

Hari Ahad adalah hari untuk gosok baju. Maka bertimbunlah Auntie menggosok (idak le banyak mana, baju kami berdua pakai gi kerje je)
Yang bestnya Cik Din kata hari ni "kita makan roti telor saja untuk berbuka.." hemmm...tak payah le machik bersilat didapur.

Sahur tadi menu Auntie hanyalah, telur dadar dengan ayam masak merah. Alhamdulillah....

Selamat berbuka. :-)

Friday, August 20, 2010

Day 10

Salam Ramadan untuk semua,

Hah...dah 10 hari kita berpuasa, macam tak percaya saja kan?? Kena percayalah, memang betul dah 10 Ramadan hari ni.

Esok cuti, lusa pun cuti....bestnya. Mungkin nak pergi jengok-jengok shopping mall mana tau kalau-kalau ada yang berkenan. Budak bujang dua orang tu kata depa nak beli sendiri baju raya masing-masing, tapi entah bila nak pergi pun tak tahu. Baju Melayu sah lah tak perlu dicari. Tahun lepas punya pun belum jejas...hanya pakai sekali sekala saja.

Auntie pulak mungkin nak cari barang untuk bawa balik kampung, mungkin sehelai dua tudung untuk adik yang dok jaga mak, dan mungkin juga belikan pakaian untuk anak-anak dia juga, maklumlah adik Auntie ibu tunggal.

Rasanya, kalau Jalan TAR, tak payah le pergikan...giler jammed nanti. Kat BBB pun ok dah...macam-macam ada. Cuma, yang agak susah nak cari kat BBB ni pakaian lelaki, kasut dan h/beg yang berbrand sikit. Satu yang best, kat BBB ni tempat makan i.e restoren-restoren punyalah banyak. Pilih saja yang mana satu nak pergi.

Kadang-kadang rindu jugak nak ke Jalan TAR tu...teringat masa dulu sebelum berpindah ke BBB/Putrajaya, kalau dah dekat nak raya, boleh dikatakan setiap hari waktu rehat (lunch time)
berduyun-duyun kami ke sana, kadang-kadang tak beli apa pun saja seronok menyibuk sama menambahkan keramaian saja.

Agaknya, sekarang ni dah mula sesak. Nak nak esok lusa hari berehat. mau ada yang subuh-subuh tunggu depan pintu Sogo tu. :-)

Selamat berbuka, selamat berhujung minggu......psssttt ibadah jangan lupa. :-)

Thursday, August 19, 2010

Day 9

Salam Ramadan untuk semua,

Hari ke 9.

Hari ni Auntie terlewat bangun sahur. Bukan lah lewat sampai tak sempat nak makan, cuma lewat daripada biasa.

Auntie pasang alarm kat hand phone. Set time 4.10, tapi, selalunya 4.30 baru bangun setelah menggeliat lebih kurang. Cik Din pulak set time pukul 5.00, dia guna jam loceng. Jadi, kalau Auntie missed, jam dia ada untuk back-up..he!...he!...jadi pagi tadi, jam loceng Cik Din telah menyelamatkan keadaan. :-)

Auntie tak kisah sangat kalau tak makan sahur, cukup untuk minum segelas susu. Tapi Cik Din kena isi perut sikit sebab dia nak kena ambil ubat-ubatan. Ubat darah tinggi & kolestrol tinggi. Kencing manis belum lagi. Sakit jantung.....ya Allah jauhkan lah dari suami terrrrcentakuuu....

Kami berdua saja. En. Amir & Jim kerja shift malam, bersahur kat tempat kerja lah dia orang. Berbuka pun kat tempat kerja. Ingat-ingat kesian jugak...tapi dia orang gigih nak kerja. Kalau tak kerja pun bukan ada apa yang depa buat melainkan tido, tido dan tido. Dah kerja depa seronok pulak, maklumlah setiap dua minggu gaji masuk. Jadi, duit sentiasa ada.....makan tanggung.
Keluar duit untuk belanja sendiri saja...lumayan lah untuk diaorang.

Maka, tahun ini, pakaian raya, dia orang akan beli sendiri. Itu yang Auntie dengar depa dok bincang dua malam lepas. Auntie pulak macam biasa, dah lama tak beli baju raya untuk diri sendiri....sebab, sokmo dok buat baju raya (......jangan percaya....4, 5 bulan sekali baru tempah/beli...tu pun sekali beli sepasang saja.....)

Dah dua hari Metrojaya*** buat sale di PICC Putrajaya. Sat tadi, Auntie pun sempat jugak jengok-jengok......waduhhh! hebat jugak jualannya, macam-macam ada. Manusia pun ramai.
Beg tangan, jam, pakaian, kasut, minyak wangi, cadar, langsir, pinggan mangkok...semua adalah...

Hujung bulan macam ni, Auntie mana ada duit....tapi, dalam tak ada duit tuh dapat juga Auntie merembat 2 helai cadar untuk katil Auntie dan 2 helai lagi untuk katil En. Amir dan Jim...murah weh!...terpaksa beli jugak....(sapa paksa pun tak lah tahu jugak?) Memang dah lama tak beli cadar pun. Orang lelaki mana ada kisah nak beli cadar.....betul tak? (...at least Cik Din le....tak pernah dia beli cadar....)
Benda-benda macam ni, kita orang pompuan le beli. Jadi, kalau duit kita cepat habis, tak patut sangat lah depa nak marah kita....betul tak? Yang kita dok perabih pun untuk sekeluarga jugak. :-)

Berbalik cerita terlewat tadi, nasib baik nasi dah masak sebelum tido. Air panas pun dah ada dalam thermos...sempatlah Auntie buat sambal telor dan goreng ikan bilis sama bawang campur cili padi.....ha, tu pun sedappppp...sempurnalah sahur kami. Lepas makan relax sekejap sambil melayan Nur Kasih...kejap je dah nak bersiap-siap ke ofis.

Kami keluar rumah pukul 6.30. Kata orang putih, "early bird catches the best worms"
Ha!...ha!...bukan nak dapat cacing, tapi nak dapat pot bagus untuk parking kereta.!

Selamat berbuka puasa.

Wednesday, August 18, 2010

Day 8

Salam Ramadan untuk semua,



Alhamdulillah, dah masuk 8 hari kita berpuasa hari ini. Alhamdulillah juga, cuaca pun redup dan hujan saja. Sesuailah untuk anak-anak kecil yang mula nak belajar puasa.



Apa cerita hari ini???...tak ada apa cerita lah....nak cerita pasal makanan, sama saja tiap hari. Boring kan? Ok, esok hari ke 9.....



Selamat berbuka berbuka.

Tuesday, August 17, 2010

Day 7

Salam Ramadan untuk semua.

Hari ke 7 kita hari ni. Alhamdulillah!

semua orang tahu, insyaallah ada lagi lebih kurang 23 hari lagi....

Letih berpuasa?...tak le letih mana...cuma yang tak tahanya kat ofis ni mengantuk je...Auntie tunggu time rehat je. Masuk je pukul satu, terus le pejam mata, kat kerusi saja...tak kiralah bising ke tidak, sure lena punya.

Selalunya bulan puasa ni, orang pompuan memang kurang tidur. Auntie tak tahulah orang lain, tapi Auntie, sokmo macam tu. Masuk tido jam 10.30...macam ngantuk sangat, tapi puas pusing kiri, pusing kanan, terlentang, tertiarap.....tak boleh lena. Baca pulak Fatihah, baca 3 Kul, baca ayat Kerusi, baca ayat seribu dinar...last-last...pasang angan-angan, pun tak lena jugak....jeles jugak dengan kawan sebelah yang dah lama berdengur.

Dah puas mata terkelip-kelip, Auntie turun ke bawah, konon nak minum air, rupanya En. Amir sedang tengok TV, tengok bola....laaa budak ni. Dia habis kerja jam 11 malam." Ni mesti tak boleh tido ni, mai le mak, kita layan bola...nanti sure mak rasa ngantuk" kata En. Amir. Auntie duduk sekejap.....entah MU lawan sapa tah, patut le dia tak tido. Rasanya dah dekat nak pukul 4.00 pagi.

Alang-alang, nak tido pun belum tentu lena, terus je Auntie siapkan makan sahur.

Kami makan nasi berlauk tenggiri asam pedas, telur goreng dadar dan sambal mangga. En. Amir pulak Auntie masakan dia, kentang goreng dan sambal bilis goreng berlada rangup. Dia tak makan ikan tuh, asam pedas lagi le dia tak makan, selalunya dia makan burger atau hot-dog saja untuk sahur. Biar dia belajar makan nasi pulak. Hemmm... sedappp.. pulak nasi panas-panas.
Jim bersahur di tempat kerja.

Ada lagi beberapa cerita yang di riwayatkan oleh En. Amir, tapi lain kali sajalah.

Selamat berbuka.

Monday, August 16, 2010

Day 6.

Salam Ramadan untuk semua,

Alhamdulillah, hari ini dah masuk hari ke 6. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua di beri kesempatan untuk berpuasa hingga sebulan dan seterusnya dapat menyambut hari raya. Mudah-mudahan juga puasa kita diterima Allah, mendapat pahala yang tidak sekadar lapar dan dahaga saja. Insyaallah juga, segala amalan baik yang kita buat di bulan mulia ini turut mendapat ganjaran dari Nya.

Dua hari berpuasa di rumah agak rilex jugak maklumlah tak payah nak pikir pasal nak sediakan makan pagi, tengahari, petang dan malam. Kebetulan pulak pada tahun ini ahli meja makan pun dah berkurangan.

Apa cerita kueh akok??....memang, pada hari Jumaat lalu, Auntie dapatlah membeli kueh tu...tak beli banyak 5 keping RM2. Auntie pegang bungkusannya betul-betul supaya tidak tercicir lagi.
Sampai rumah, masa berbuka sibuk menghidang makanan lain, langsung terlupa pasal kueh akok yang di simpan dalam peti ais. Akhirnya di makan pada petang Sabtu saja. Nasib baik masih elok sedap pulak rasanya.

Kueh ni, kueh orang Kelantan, masa mula berkenalan dengan nya, Auntie tak berapa suka sebab, punyalah manis...masa tu Auntie makan di Kota Bharu, dihidangkan semasa mesyuarat apa tah...... air minuman pun manissss. Bila terjumpa di Lembah Klang ni, rasa dia ok pulak...ala-ala manis buah saja. Sejak tu dah jadi peminat kueh akok pula.

Hari ni Auntie nak cerita sikit beberapa situasi yang kurang menyenangkan di bulan Ramadan.

Cerita dipetik daripada kejadian sebenar yang telah di riwayatkan oleh En. Amir yang bertugas dikaunter tempat kerjanya .

Scene 1

Dalam pukul 10.30 pagi, masuk sorang Pak Cik (usia lebih kurang macam ayah...kata En. Amir)

Pak Cik mengambil dua batang aic-cream Lolipop, lalu ke kaunter untuk bayar.

En.Amir : Pak Cik, sorry ye, hari ni plastik tak boleh bagi...kempen hari tanpa palstik (hari Sabtu)

Pak Cik : Oh...ye ke?? habis macam mana Pak Cik nak bawak ice-cream ni?? Nak buat berbuka ni.... ( awal lagi dah beli?...tak kan tak boleh beli petang sikit kan?)

En. Amir : boleh bagi, tapi kena bayar le 20 sen.

Pak Cik : ahhh...itu pun nak kira... (mula macam nak marah)

En. Amir : Saya ikut arahan saja....

Pak Cik menghulur duit, ambil ice-cream , jalan.

En. Amir, cepat-cepat keluar dari kaunter, intai Pak Cik tu...

Tau apa dia buat????...dia masukkan ice-cream tu dalam baju!!!!

Pasal dia buat macam tuh?


Scene 2

Dua orang pemuda Melayu (...tentulah Islam) yang macho masuk, selamba saja bertanya

Pemuda : Dik, ppssstt...air setan kat mana???

En. Amir : (pura-pura tak faham).....air apa bang??

Pemuda : Ala...tak kan tak tahu, tu air yang kasi mabuk tu...bukan nak minum siang-siang ni...malam la.....

En. Amir :...oooo...sorry bang, kat store ni tak jual le, sini 99% orang Islam..

Pemuda, mencebik bibir dan keluar...


Scene 3

Dua orang gadis masuk ke store. Mengambil makanan ringan dan gula-gula.

Gadis : Dik, nasi lemak tak jual ke?

En. Amir : bulan puasa ni tak ada le Kakak.

Gadis : Susah le macam ni....

...apa yang susah tu, tak tahu le kita.

Selamat berbuka.

Friday, August 13, 2010

Day 3

Salam Ramadan untuk semua.

Dah tiga hari kita berpuasa. Alhamdulillah!

Sekejap je..kan? Kalau kita nak ganti puasa, sehari pun rasa susah beno.

Berbuka apa semalam ye?

Macam biasa setiap tahun, kalau bulan puasa, time balik kerja...memanjangnya jalan sesak. Mungkin sebab ramai yang pakat balik awal dan serentak. Putrajaya yang tak besar mana ni pun sesak.

Masuk pulak BBB lagi le sesak, dengan dua bijik 'round-about' yang besar keadaan bertambah parah. BBB ni bukannya besar mana pun, tapi tak tahu jugaklah tah dari mana datangnya kereta yang begitu banyak.

Apa nak buat, sekarang zaman kemewahan gamaknya, rata-rata, sebuah kereta ada sorang saja didalamnya. Suami drive satu kereta, isteri drive satu kereta, anak-anak pulak sorang satu kereta jugak. Nasib baiklah had umur memandu di naikkan...kalau tidak, mungkin budak usia 12 tahun pun bawak kereta juga. Tu pun nasib baik Auntie tak drive, kalau tidak, dahhh bertambah lagi sebijik kereta di atas jalan.

Kami singgah pasar Ramadan semalam. Aroma ikan bakar, ayam bakar, satay bebagai menusuk hidung. Tapi kami dah badget, tahun ni akan berbelanja secara berhemah. Auntie beli kurang daripada RM 10, Cik Din pun begitu jugak.
Jadi kami beli mee sup 2 bungkus RM6.00, nasi tomato RM6.00 (untuk Jim & En Amir), pecal RM2.50 dan kueh Akok RM 2.00................tak sampai RM20 tuh...(misi berjaya!)

Sampai rumah, masak air buat teh tarik. Kurma dah memang ada. Yang berbuka di rumah hanya Auntie dengan Cik Din...dua pemuda tu berbuka di tempat kerja. Depa kerja sift malam.
Sampai rumah, solat Asar. Sempat lagi melayan Jejak Rasul dan drama di TV3# sambil-sambil siapkan hidangan. Frust!!!!!...kueh akok tak ada!!!! rasa macam nak nangis!...

Akok kedut pulak tu!!!

(nasib baik tak ada batu belah ...kalau tidakkkk.................)


Apa nak buat bukan rejeki namanya...tak pelah niat sedekah saja pada sapa yang terjumpa.

Hari ni kena cari kueh akok jugak nih!

Thursday, August 12, 2010

Day 2

Salam Ramadan untuk semua,

Alhamdulillah, hari pertama puasa berjalan lancar. Ada sesapa yang saja saja tak puasa???

Waktu pagi kat ofis sunyi sepi. Ramai yang sampai awal dan pakat lelapkan mata sementara nak mula kerja.

Daripada banyak berkata-kata, elok sajalah tidor. :-)

Yeh, berbuka apa semalam ek?? Tahun ni kat rumah Auntie agak muram time bebuka. Semalam hanya Auntie dengan Cik Din saja. Jim dengan En. Amir berbuka di tempat kerja.
Yang kami hadap hanyalah buah kurma, air teh dan sebungkus rojak S'pore yang di beli di pasar Ramadan. Simple, ringkas, jimat dan berhemah!....(ceh!)

Cik Din berterawikh di surau, Auntie kat rumah sorang-sorang. Banyak jugak perkara berfaedah yang dapat Auntie bereskan. Dapatlah ngadap quraan, ngadap kitab.....dan jugak....TV :-) keh! tak tinggal tuh...

Pagi tadi kami bersahur bertiga. Auntie, Cik Din dan Jim. En. Amir sahur kat tempat kerja. Burger & mila untuk Jim. Sekeping tenggiri masak kicap dan serunding serta air teh untuk makcik dan pakcik. Alhamdulillah. Insyaallah masuklah hari ke dua puasa kita hari ini.

Selamat berbuka.

Wednesday, August 11, 2010

Day 1

Salam Ramadan untuk semua,

Hari pertama kita menjalani ibadah puasa.

Kena baik-baik ye...kurangkan cakap kosong..duk diam-diam, berzikir senyap-senyap.
Jangan hisap rokok...tak boleh, batal puasa. Yang tak puasa tu, pandai-pandailah cari pot nak makan (orang pompuan) atau, makan siap-siap kat rumah.....bawak le bekal ala kadar je...jangan le bermangkok tingkat pulak! Orang lelaki jangan nak cari pot juga...hormatilah yang berpuasa, malulah dengan diri sendiri. Budak kecik pun boleh puasa.

Auntie percaya, sahabat taulan Auntie di alam maya ini semua orang baik-baik belaka yang sentiasa patuh akan perintah Allah.

...tazkirah daripada makcik... :-)
.....................................................

Auntie bangun pukul 4.30 pagi untuk persiapan bersahur. Ceh! macam sakan je bunyinya. Sebenarnya tak ada apa persiapan pun, sekadar bangun untuk menjamah sedikit makanan.

Nasi dah masak sebelum tidor, yang di masak subuh tadi adalah secerek air, sebijik burger dan sekeping ikan tenggiri (goreng saja). Ada sikit belen sambal tumis udang. Ada pulak kawan bagi serunding ayam petang semalam. Alhamdulillah....rezeki bersahur.
Auntie dengan Cik Din makan nasi, En. Amir makan burger. Jim pulak bersahur ditempat kerja.

Sembahyang terawikh pun dah bermuala semalam. Auntie buat di rumah saja.

Petang ni, insyaallah Auntie dengan Cik Din saja akan berbuka di rumah. En. Amir dan Jim akan berbuka di tempat kerja.

Petang nanti nak cari buah betik atau pisang saja untuk berbuka. Mungkin tambah sikit sekeping dua kueh.

Selamat berbuka semua.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadan datang lagi...

Salam untuk semua,

Semalam, berjam-jam jugak kami kat ofis tak dapat masuk internet. Dari pagi sampai membawa ke tengahari. Zaman sekarang ni, kalau tak ada internet, macam dah tak boleh nak buat apa- apa semuanya macam terhenti.

Alhamdulillah, hari ni hari terakhir sebelum menjelang Ramadan. Ceramah Ramadan pun dah dengar, jamuan sambut Ramadan pun kami dah buat Jumaat lepas (kat ofis). Meriah sungguh dengan makanan yang kami buat secara 'pot-luck', Auntie ingat malas nak bawak apa-apa, sebab selalunya memang ada macam-macam. Akhirnya Auntie bawak lah jugak agar-agar, ala-ala orang malas je...

Petang karang orang dah nak tengok anak bulan. Tak macam dulu, bila tengok anak bulan, kalau tak nampak tak puasa....sekarang ni, nampak ke tidak, tarikh puasa dah ditetapkan. Yang dok teropong jugak anak bulan tu, hanya formaliti sajalah setahu Auntie.....lagi pun, budget nak pergi tengok bulan memang dah ada, maka pergi sajalah para Ahli Falak tu ke tempat-tempat yang telah dikenal pasti......[kalau tidak depa macam tak jalankan tugas pula...kan?]

Ha, masa dalam perjalanan ke ofis tadi pun Auntie dah terserempak dengan gerai jual daging kat tepi jalan...gelap-gelap buta dah ada daging bergantungan. Nak sambut puasa ni memang meriah. Macam-macam ada. Tengok le petang karang kalau tak percaya. Pasar-pasar akan penuh dengan umat-umat Islam.

Auntie pun tak ketinggalan bersiap. Dah beli se tong gas hari Ahad lalu. Gas yang sedang diguna dah macam ringan je, takut jugak, kang masa bersahur habis gas. Petang ni pulak nak cari telur kasi banyak sikit. Nak cari daging burger dan roti burger. Daging fresh tu tak payah le. Buah kurma dah beli semalam. Air zam-zam pun dah ada sikit.

Auntie sepakat dengan Cik Din, nak berbuka ala kadar je tahun ni. Masa berbuka, makan kurma, makan buah, minum air dan solat maghrib. Lepas terawih baru makan berat sikit. Nasi makan waktu sahur saja. Isyy...kalau menjadi kami punya plan ni, tentu berat badan turun sikitkan. Auntie tengok perut Cik Din pun semakin naik...dah macam orang ngandung 6 bulan!
Auntie pun sama saja....

Untuk semua yang rajin berkunjung ke blog Auntie ni, Auntie ucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadan, selamat berpuasa, selamat beramal di bulan yang mulia ini.

Thursday, August 05, 2010

Ceramah

Salam untuk semua,

Pagi tadi, untuk breakfast, Auntie masak bihun goreng. Bihun goreng hak simple saja tak banyak rencah. Boh sikit sawi, tumis dengan air rebusan daging dan udang, siap. Dapatlah bawak bekal ke ofis. Cafe masih tutup lagi. Insyaallah hari ni tak akan kelaparan macam semalam.

Hari ni jugak ada ceramah agama sempena menyambut bulan Ramadan. Kalau kerja dengan jabatan kerajaan ni gitulah. Ceramah/foram berkaitan agama boleh dikatakan setiap bulan mesti ada. Kelas-kelas pengajian agama juga di adakan kat surau pejabat, cuma nak atend atau tidak saja.

Selalunya, bab hadir-hadir ceramah ni, boleh dikatakan tiga suku dewan akan dipenuhi dengan kaum wanita. Kaum lelaki tah mana perginya....mungkin jugak depa dah arif dah, tu pasai depa malas nak dengar perkara yang sama diulang-ulang. Mungkin lah. Mungkin jugak depa banyak kerja nak diselesaikan. Mungkin la....

...dan Auntie jugak amat mosykel, kalau bab-bab majlis ilmu sebegini, tak ramai dari kalangan orang atasan yang hadir. Kalau ceramah yang tak berkaitan agama, boleh pulak depa datang.So, kami-kami ni sajalah yang dok penuhi dewan. Mungkin depa sibuk dengan meeting...maklumlah bos kan...kami mana tahu apa-apa. Mungkin depa pi seminar dan forum antarabangsa yang lebih penting untuk pembangunan dan ekonomi negara, makanya masa yang lebih kurang 2 jam tu tak sepatutnya di sia-siakan di dalam dewan. Tak pelah...menjalankan amanah pun dapat pahala jugak. Niat mau betul....kata ustaz.
Buat diri Auntie pulak...janganlah dok buruk sangka kat depa tu , berdosa, kata ustaz.

Dua orang ustaz memberi ceramah. Dua-duanya kerap bersiaran di kaca TV. Memang terkesan sangat dihati Auntie...terinsaf seketika. Begitulah Auntie ni, sekali dengar, sekali terinsaf...kena dengar selalulah gayanya.

Ceramah yang bermula pukul 9.00 berakhir pada pukul 11.00

Insyaallah pada bulan Ramadan ni, ceramah-ceramah yang seumpamanya akan di adakan lebih kerap lagi.

Wasallam.

Wednesday, August 04, 2010

Sambal tumis.

Salam untuk semua,

Masuk hari ini dah tiga hari cafe kat ofis Auntie ni ditutup. Ada yang kata tutup sementara saja. Ada yang kata kontraknya dah habis, dan pemilik takmo sambung lagi.

Memang lama cafe ni dengan kami, sejak kami berpindah dari KL ke Putrajaya pada pertenghan tahun 2005 lagi. Bermakna dah hampir lima tahun. Makanan yang disajikan memang ok sangat. Menunya berbagai. Untuk breakfast, cakap saja le boleh kata semua ada. Roti canai, nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu, mee, bihun, kueh-kueh, ubi kayu rebus pun ada.

Dari segi harga, memang berpatutan jika dibandingkan dengan tempat makan di kawasan Putrajaya ni. Saban pagi, cafe ni penuh dengan pengunjung, bukan saja dari Kementerian kami yang ada 2 blok menara setinggi 17 tingkat, malah orang dari pejabat berdekatan juga datang menjamu selera.

Makanya, tengahari ni Auntie kelaparan....makan jelah roti sapu majrin yang dibawak dari rumah pagi tadi. Mulanya ingat nak bawak bekal nasi saja. Semalam Auntie sudah terrrr rajin memasak sambal tumis petai campur bilis. Hemmmm dah teringat-ingat pulak akan sambal petai tu....hati berbelah bagi sebenarnya samada nak bawak atau pun tidak...he!...he!...maklumlah petai.....Cik Din kata, tak payah bawak...kang "seberbak" bau dia satu ofis! betul jugak. Jadinya, terbantutlah hasrat nak memetai kat ofis. Roti sapu majrin dah habis ni, neskepi secawan dah selesai....tapiiiii...eeeee...lapo lagi laaaa........!

Menyesal tak bawak nasi!

Monday, August 02, 2010

Gegirl!!

Salam untuk semua,

Dah jam 5.10 ptg. Auntie masih kat ofis lagi. Selalunya time ni dah sampai rumah. Auntie masuk pukul 7.30pagi dan balik 4.30ptg.

Cik Din, ada meeting. Tak tahu bila habisnya, selalunya lama jugak. Auntie memang tak suka kalau sampai lambat kat rumah, solat pun jadi lewat, yang pentingnya....takut terlepas drama 6.30 ptg. TV3#. Hari ni dah nak start cerita baru pulak. ( tak padan dengan tua, tak habis-habis tengok drama) Kalau tak ngadap drama, nak buat apa ek?...tak kan nak duduk termenung je.

Sambil tengok drama, Auntie selalunya lipat kain. Selesai lipat kain, Auntie akan buat "foot reflexology" guna mesin tu. Lepas maghrib, barulah intai-intai dapur tu..baru pikir nak makan apa. Selalunya, makan ringan-ringan saja.Minum teh, makan roti.

Budak-budak muda kat ofis ni memekak main ping-pong. Waktu lunch tadi dah main, petang main lagi. Bising le... kadang-kadang Auntie sound jugak. Tapi, dia orang ni tak makan saman le. Kalau Auntie buat muka serius depa cuak jugak. Tapi, malas le nak marah-marah. Ada masa dia orang ni macam manja-manja dengan Auntie. Maklumlah semuanya dah pangkat anak-anak je.

Auntie tau, kat belakang Auntie, macam-macam depa bagi gelaran kat Auntie.
Guru Besar le, pembaca berita la....tapi, yang harunya, depa panggil Auntie makcik gegirl!!!! patut ke tidak???...nak marah pun tak jadi...sabo je lah....